Tuesday, June 28, 2011

Haji Kanak-kanak

4. Soalan :
Apakah hukum Haji kanak-kanak yang belum baligh?

Jawapan:
Tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh menunaikan Haji.Jika kanak-kanak yang muamaiyiz (yang tahu membezakan antara kotor dan bersih),tahu kerja-kerja Haji dan membuatnya sendiri,maka Hajinya sah tetapi tidak menggugurkan fardhu Haji dirinya.Ia boleh berniat Haji bagi dirinya dengan syarat diizin oleh bapa atau walinya.
Jika kanak-kanak itu belum mumaiyiz dan ada bersama-sama bapa atau walinya,maka bapa atau walinyalah yang meniatkan dan melakukan kerja-kerja Haji bagi kanak-kanak itu.

5. Soalan :
Bagaimana bapa atau wali berniat dan melakukan kerja-kerja Haji bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz?

Jawapan :
Cara bapa atau wali berniat dan melakukan kerja-kerja Haji bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz adalah seperti berikut:
(i)Niat - Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadikan anak/tanggungannya berihram.
Lafaz niatnya:Sahaja aku berihram dengan ihram Haji untuk anakku/tanggunganku kerana Allah Ta'ala.
(ii)Menyempurnakan rukun dan wajib-wajib Haji - Anak/Tanggungan itu hendaklah dibawa bersama untuk berwuquf,bermalam di Muzdalifah dan bermalam di Mina dan dicukurkan.Adapun Tawaf ,Sa'ie dan melontar maka bapa atau wali hendaklah mengerjakan kerja-kerja tersebut bagi dirinya sebelum daripada mengerjakannya bagi anak-anak tersebut.
(iii)Penjagaan pantang larang dalam ihram - Bapa atau wali sayugialah menjaga anak/tanggungannya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam ihram.Jika kanak-kanak itu (yang belum mumaiyiz) melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam ihram tidak dikenakan fidyah (Dam).Tetapi bagi kanak-kanak yang mumaiyiz wajib disempurnakan Dam.

6. Soalan :
Apa hukum Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak dan adakah dapat pahala?

Jawapan:
Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak itu adalah Haji sunat,tidak menggugurkan Haji fardhunya.Ini bererti apabila ia baligh wajib ia mengerjakan Haji fardhu atas dirinya.
Ibu atau bapa yang melakukan Hajinya mendapat pahala,dalilnya terkandung dalam hadith yang dikeluarkan oleh Abu Isa At Tarmizi dengan katanya:
Maksudnya- Seorang perempuan telah mengangkat akan anak yang lelaki kepada Rasulullah serta berkata,Wahai Rasulullah adakah bagi anak ini Haji?
Jawab Rasulullah"Ya, dan bagi puan pahala"

7. Soalan :
Adakah boleh kanak-kanak belum mumaiyiz mengumpulkan anak-anak batu dengna sendiri atau walinya perlu mengutip untuknya?

Jawapan :
Boleh dan seeloknya wali hendaklah memungut dan memberi kepada anaknya untuk melontar atau wali melontarkan untuk anaknya.

No comments:

Post a Comment