9 Zulhijjah 1442
Nabi SAW bersabda
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”
(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”
(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)
Waktu Afdhal Berdoa Pada Hari Arafah
Waktu Wukuf di Padang Arafah bagi tahun 2021 ini adalah seperti berikut:
12.27 pm – 7.04 pm (Mekah)
5.27pm – 12.04 am (Malaysia)
Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?
Jika diteliti hadis Nabi s.a.w, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.
Jadi, bagaimanakah mentafsirkan hari Arafah?
Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.
Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.
Sabda Nabi s.a.w:
الحج عرفة
Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”
Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.
Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.
Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.
Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.
Nabi S.A.W bersabda:
ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..
Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”
Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.
No comments:
Post a Comment