Saturday, October 14, 2017

INFO : KAD PRABAYAR ( SIMKAD )



Musim haji selesailah sudah... Alhamdulillah. Tidak berapa lama lagi tibalah pula musim umrah. Pastinya ramai di kalangan ahli keluarga kita, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga yang akan pergi menunaikan ibadah umrah sebaik sahaja visa umrah dibuka pada bulan November nanti.
Sedikit tips atau perkongsian ilmu daripada saya buat bakal-bakal duyufurahman terutama bagi mereka yang baru pertama kali akan menjejakkan kaki ke bumi Haramain pada bulan November dan Disember ini.
Untuk makluman anda, kad prabayar sudah tidak dijual di kedai-kedai biasa, kaki-kaki lima hotel dan di setiap lobi-lobi hotel seperti dahulu. Jika ada pun yang dijual adalah kad untuk isian semula (top-up). Anda perlu membeli kad prabayar untuk telifon bimbit anda di kedai syarikat telekomunikasi atau kaunter-kaunter prabayar yang telah disediakan.
Kerajaan Saudi telah mengenakan syarat baru bagi jemaah-jemaah umrah yang hendak membeli kad prabayar.Imbasan cap jari telunjuk anda akan diambil dan anda juga perlu menunjukkan pasport beserta visa semasa anda ingin membeli kad prabayar tersebut.
Bagi jemaah umrah dari Malaysia, pasport anda biasanya akan dikumpulkan dan disimpan oleh mutawwif atau pihak hotel. Jadi, sebagai langkah alternatif agar anda tidak menghadapi masalah ketika mahu membeli kad prabayar, anda bolehlah membuat salinan (photostat) pasport dan visa anda kerana petugas tersebut tetap akan menerima salinan pasport dan visa anda itu. Pastikan pas pengenalan diri (gantung di leher) yang diberi oleh pihak travel anda pakai ketika itu.
Jika anda lewat terima visa anda dan tidak sempat untuk anda photostat, sebaik sahaja anda terima pasport anda daripada pihak travel di airport, segera ambil gambar bahagian depan pasport, bahagian bergambar pasport dan bahagian helaian yang ditampalkan visa anda. Insyaa-Allah dengan menunjukkan gambar dari telifon bimbit tersebut anda masih boleh membeli kad prabayar itu nanti.
Bagi anda yang pertama kali, tidak perlu risau tentang hal ini. Dapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada mutawwif/fah atau pembimbing yang bertugas. Insyaa-Allah mereka sentiasa bersedia membantu anda.
Anda boleh dapatkan kad prabayar ini di setiap lapangan terbang di Saudi kerana setiap lapangan terbang ada disediakan kaunter untuk pembelian. Manakala, jika anda berada di Madinah anda boleh dapatkan di bahagian pintu pagar 25 menghala dataran jam. Di deretan kedai sebelah kanan dari Masjidil Nabawi ada dua atau tiga kedai syarikat telekomunikasi.
Kadang-kala, bagi hotel yang agak terkenal pihak syarikat telekomunikasi ada menyediakan kaunter kad prabayar di bahagian sudut lobi. Di Mekah pula, anda boleh dapatkan di dalam bangunan Zam Zam Tower. Ada kaunter yang disediakan di tingkat 1 pusat membeli belah itu. Juga anda boleh dapatkan di lobi Dar Al Tauhid Intercontinental. Kadang-kala ada juga disediakan kaunter di sudut lobi sesetengah hotel di Mekah.
Harga pula bergantung kepada keperluan anda. Ada yang hanya untuk penggunaan telifon sahaja dalam lingkungan harga 20 hingga 30 riyal. Manakala, penggunaan telifon beserta internet biasanya 60 riyal ke atas.
Sumber : Backpack2Mecca
@notaumrahziarah

No comments:

Post a Comment