Pages

Thursday, August 8, 2019

DOA ARAFAH

HARI ARAFAH
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Wukuf kamu di Padang Arafah, sesungguhnya Allah s.w.t turun ke langit dunia dan bermegah dengan kamu ke atas malaikatNya seraya berfirman; “Hamba-hamba ku, mereka datang kepadaKu dengan kusut masai (tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka) dari segenap penjuru dunia yang jauh, semata-mata mengharapkan syurgaKu. Jika mereka datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan dan buih di lautan nescaya Aku akan menghapuskan kesemuanya”. Allah berfirman lagi, “Keluarlah kamu daripada Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yang kamu meminta ampun untuk mereka.” Hadis oleh Al-Bazzar.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah, beritahu kepada kami mengenai kelebihan puasa pada hari Arafah (bagi mereka yang tidak mengerjakan haji).” Rasulullah bersabda; “Aku berharap agar Allah menghapuskan dosa pada tahun yang sebelum dan selepasnya.”
DOA ARAFAH
“Tidak ada haji sekiranya tiada wukuf di Arafah. Amatlah malang bagi kami jika kami dihalang dari mengerjakan wukuf Ya Allah. Sia-sialah pengorbanan kami selama ini. Maka dari itu, kami dengan rendah diri memohon kepadaMu Ya Allah, permudahkan urusan kami untuk berwukuf di Arafah. Janganlah kami diuji dengan segala kepayahan dan musibah. Berikan kami kekuatan fizikal dan mental. Jadikan kami orang yang sentiasa sibuk beribadah sepanjang kami berada di bumi Arafah. Jangan dilalaikan kami dengan perkara-perkara lagho (sia-sia) yang akan merosakkan ibadah haji kami. Berikan kami kesabaran yang banyak. Tenangkan hati-hati kami, jangan sesatkan kami dalam perjalanan yang menjadikan kami resah-gelisah. Peliharalah kesihatan kami. Permudahkan urusan taharah (hadas besar dan hadas kecil) kami. Tutuplah mulut-mulut kami dari berkata perkataan yang sia-sia dan menyakitkan hati hambaMu yang lain, yang juga turut bersama kami di sana.
Penuhi kesabaran dan ketenangan di hati kami. Jangan disibukkan kami dengan urusan dunia kami dari beribadah kepadaMu. Sesungguhnya bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina itu tiada siapa yang empunya selainMu Ya Allah. Justeru itu kami memohon izinMu untuk singgah sebentar di sana untuk meneguk setitis kasihMu, buat bekalan kami ke syurgaMu Ya Allah.
Setelah kami diberi kesempatan untuk berwukuf di Arafah, bermabit di Muzdalifah serta Mina dan selesai bertahallul awal, maka permudahkan urusan perjalanan kami untuk kembali semula ke Mekah, bagi menyelesaikan Tawaf haji dan Saie Haji. Hapuskanlah dosa kami sebanyak mana yang ada setelah kami bertahallul. Seterusnya peliharakanlah kesihatan kami, berikanlah kami kelapangan waktu untuk melakukan tawaf sunat serta umrah sunat sebanyak mana yang kami mampu Ya Allah.”
“Ampunkan kami ya Allah.”
“Terimalah taubat kami.”
“Terasa malu yang amat sangat untuk kami berdoa bermunajat memohon hajat kepadaMu. Sedang kami bukanlah antara manusia yang taat dan patuh ajaranMu. Cuma, kami ini adalah ummat kekasihMu, Nabi Muhammad. Jika ada setitis rahmatMu atas ummat Rasulullah yang telah Engkau muliakan, maka muliakanlah kami atas keberkatan dan syafaatNya. Terimalah kami menjadi tetamuMu. Terimalah kami sebagaimana engkau menerima sahabat-sahabat Rasulullah, serta nabi-nabi terdahulu di sini.”
“Kami datang dari kejauhan, dengan kusut masai serta berdebu dan berada di sini, di bumi yang penuh barakah ini, dengan dosa dan maksiat yang menggunung, semata-mata mengharapkan rahmat dan rahimMu. Bersihkan kami ya Allah. Bersihkan kami sebagaimana bayi yang baru dilahirkan. Kemudian janganlah hendaknya kami diizinkan untuk melakukan dosa untuk yang akan datang. Kami mengharap sangat akan rahmatMu. Halangi kami dari dosa dan maksiat. Kekalkan kami dengan kesucian jiwa lantaran redhaMu.”

No comments:

Post a Comment